2,000 pelajar sertai 'Selangkah Ke Universiti'




Rosmah Mansor (dua dari kiri) dan Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama sebahagian peserta Program Selangkah Ke Universiti di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang, semalam. - BERNAMA



SERDANG 6 April - Seramai 2,000 pelajar tingkatan empat dari 100 buah sekolah di seluruh negara dipilih menyertai program 'Selangkah ke Universiti' yang bermatlamat mendedahkan mereka dengan kehidupan sebenar di menara gading.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pendedahan tersebut mampu menjadi pendorong dan meningkatkan kesedaran pelajar sekolah khususnya di luar bandar agar lebih bersemangat dan berusaha untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Beliau berkata, melalui pendedahan dan pengalaman sehari di kampus akan dapat memberi gambaran jelas tentang suasana pembelajaran sekali gus memberi semangat kepada pelajar untuk belajar bersungguhsungguh hingga berjaya menjejakkan kaki ke universiti.
"Program ini juga diharapkan dapat membantu para pelajar mengenal pasti bidang pengkhususan yang ingin diceburi selepas tamat persekolahan di peringkat menengah
"Dengan ini, pelajar sedikit sebanyak dapat memberi tumpuan terhadap bidang yang ingin diceburi kelak selain itu pendedahan kepada teknik-teknik yang berkesan dalam menghadapi peperiksaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program 'Selangkah Ke Universiti' di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.
Program sehari itu anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi serta 14 institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ia disasarkan kepada para pelajar yang berpotensi untuk berjaya di bidang akademik selain tidak mempunyai ahli keluarga yang pernah belajar di universiti.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti berkata pihaknya juga berhasrat untuk memperluaskan program tersebut ke seluruh negara yang diselaraskan oleh beberapa IPTA terpilih.
Dalam pada itu, Rosmah juga menyeru agar para siswa dan siswi melakukan kerja-kerja sosial dan kebajikan yang berfaedah sebagai satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Menurut beliau, penglibatan sedemikian sedikit sebanyak dapat memenuhi masa yang terluang serta menghindarkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat atau menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.
"Dekati diri anda dengan masyarakat dan berbaktilah kepada mereka khususnya pelajar. Siswa dan siswi seharusnya menjadi mentor kepada mereka yang sedang belajar di sekolah menengah agar mencontohi jejak langkah anda hingga berjaya menempatkan diri di universiti," katanya.

  © Blogger templates Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP