Sikap tidak hargai buku membimbangkan

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0223&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_30.htm&arc=hive


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Sikap rakyat yang tidak tahu menghargai buku dan malas membaca perlu dibimbangi oleh semua pihak.
Pakar bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, keadaan itu boleh menyebabkan rakyat negara ini tertinggal dalam penguasaan ilmu lebih-lebih lagi dalam era teknologi maklumat yang semakin canggih.
Menurutnya, walaupun pelbagai kempen dijalankan bagi menggalakkan budaya membaca, masih sukar untuk melihat masyarakat negara ini konsisten dalam membaca buku.
"Mereka hanya bersungguh ketika kempen mahupun pesta buku berlangsung dan selepas itu tanpa disedari amalan membaca mula diabaikan.
"Sikap malas membaca buku harus dibimbangi semua pihak dan sekiranya tidak diatasi segera, ia boleh merosakkan imej negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini bertajuk 'Rakyat tidak suka buku!' yang mendedahkan hasil tinjauan di pelbagai lokasi tumpuan umum mendapati jumlah yang membaca buku sangat kecil.
Tambah Nik Safiah, persaingan dengan alat permainan video, telefon bimbit dan Internet menyebabkan rakyat leka dan sedikit demi sedikit mula meninggalkan amalan membaca buku.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam membudayakan pendidikan membaca buku khususnya terhadap golongan remaja dan kanak-kanak bagi meningkatkan taraf pembacaan di kalangan mereka.
"Ibu bapa harus mewujudkan ruang dan suasana membaca di rumah dengan menggalakkan setiap ahli keluarga membaca sekali gus dapat menghindarkan mereka daripada menonton televisyen mahupun berbual-bual kosong.
"Malah digalakkan setiap ibu bapa untuk berbincang bersama anak- anak mereka tentang isi kandungan sesebuah buku," ujarnya.

  © Blogger templates Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP