Rangsang minat membaca



ISMAIL Muttalib menyampaikan hadiah kepada pembaca remaja terbanyak, Wan Azhar Wan Ahmad Putra di Maran, Pahang, baru-baru ini.


MARAN 18 Mac – Membaca adalah jambatan ilmu. Penguasaan terhadap ilmu pengetahuan menjadi pemangkin terhadap kemajuan tamadun bangsa dan negara.
Rakyat sesebuah negara yang banyak membaca akan membantu merancakkan pembangunan sosioekonomi dan teknologi selain meningkatkan lagi daya saing.
Menyedari hakikat itu, kerajaan sangat serius membina seberapa banyak perpustakaan awam dan desa di seluruh negara bagi merangsang minat rakyat untuk membaca.
Kesungguhan kerajaan itu dibuktikan pada perasmian Perpustakaan Desa Felda New Zealand oleh Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Muttalib dekat sini baru-baru ini.
Pembukaan perpustakaan itu memberi lebih banyak peluang kepada penduduk kampung terbabit meneroka dunia luar melalui pembacaan.
Perpustakaan berharga RM300,000 itu dianggap antara tercanggih bagi peringkat luar bandar apabila ia dilengkapi kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT), Internet, kepelbagaian koleksi bahan bacaan dan ruang bacaan yang luas bagi keselesaan pengunjung.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Perpustakaan Desa Felda New Zealand setanding dengan perpustakaan yang terdapat di bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa Felda New Zealand, Mohd. Lazim Mahusin berkata, perpustakaan itu dibina pada 2007 dan mula beroperasi pada Ogos tahun lalu.
Katanya, pembinaan perpustakaan itu bertujuan menanam budaya membaca ke arah melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berfikiran kreatif bagi menjadikan Malaysia sebuah negara kompetitif.
‘‘Perpustakaan Desa Kampung Felda New Zealand akan menjadi satu lagi landasan penting bagi melahirkan masyarakat berilmu, bermaklumat dan pemangkin ke arah pembentukan sebuah negara berinovatif,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian perpustakaan itu di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Faridzah Jaafar; Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadilla Saleh dan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie.
Tambah Mohd. Lazim, kehadiran Dr. Sheikh Muszaphar dapat memberi impak kepada anak-anak peneroka bahawa dengan pembacaan, manusia mampu menguasai angkasa lepas.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Muttalib memberitahu, semua 14 Parlimen di Pahang telah memiliki perpustakaan desa manakala 33 daripada 42 DUN turut mempunyai kemudahan itu.
‘‘Sebanyak 32 perpustakaan desa di Pahang diurus Perbadanan Perpustakaan Awam negeri manakala 32 buah lagi diselia PNM,” jelasnya.
Apa yang membanggakan, kata Ismail, kesemua perpustakaan terbabit mempunyai kelengkapan ICT untuk memastikan setiap rakyat menikmati kemajuan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan setiap perpustakaan desa menganjurkan pelbagai aktiviti membaca membabitkan semua peringkat umur.
Beliau tidak menafikan bahawa masyarakat luar bandar mampu untuk maju dalam pelbagai bidang jika budaya membaca diamalkan sepanjang hayat.
‘‘Dengan terbinanya rangkaian perpustakaan awam terutama di luar bandar, ia membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memberi peluang secara adil kepada rakyat dalam aspek keilmuan dan ICT,” katanya.
Sementara itu, Raslin berkata, kerajaan membina sebanyak 1,089 perpustakaan desa di seluruh negara membabitkan peruntukan berjuta ringgit bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak dipinggir daripada arus perdana.
‘‘Inilah matlamat utama kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat desa dan luar bandar walaupun lokasinya jauh di pedalaman seperti Sabah dan Sarawak,” katanya.
Raslin memberitahu, PNM menyasarkan semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya sebuah perpustakaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sejajar dengan gagasan 1Malaysia ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.’
Tegasnya, budaya cintakan buku dan ilmu perlu diterapkan di kalangan rakyat kerana melaluinya mereka dapat membantu kerajaan merancakkan pembangunan negara.
‘‘Penubuhan perpustakaan awam dan desa dapat mewujudkan masyarakat berbudaya membaca, mencintai ilmu dan menghargai maklumat serta berpandangan positif dan progresif terhadap pembangunan diri, masyarakat, agama dan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memanfaatkan perpustakaan yang disediakan di kawasan masing-masing dengan aktiviti berfaedah.
Dalam pada itu, Dr. Sheikh Muszaphar turut mengakui bahawa melalui pembacaan, seseorang itu dapat mencungkil rahsia alam yang penuh misteri.
‘‘Oleh itu mereka yang berilmu dapat membangunkan tamadun sesebuah bangsa di dunia ini,” katanya.

  © Blogger templates Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP