17 mahasiswa wanita UTM ke United Kingdom
JOHOR BAHRU 23 Mac - Seramai 17 mahasiswa wanita Kolej Sembilan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpeluang berkunjung ke United Kingdom (UK) selama lapan hari baru-baru ini. Program mendokong misi UTM bagi melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran global itu merupakan salah satu program UTM Global Outreach.
Pengarah projek tersebut, Nur Ayuni Shamsul Bahri berkata, UK-Exchange 2010 yang dianjurkan buat pertama kalinya disertai oleh mahasiswa-mahasiswa daripada pelbagai jurusan.
Antaranya, mahasiswa Fakulti Bionis dan Biokejuruteraan, Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
"Setelah berada di sana, pelbagai pengalaman dan ilmu yang kami peroleh. Daripada pengamatan kami, budaya pembelajaran mereka di sana agak berbeza dengan kita.
"Ini kerana mereka sangat mementingkan ilmu yang mana budaya membaca begitu diterapkan dalam kehidupan mereka ditambah dengan pelbagai kemudahan pembelajaran yang disediakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sepanjang berada di sana, mereka melawat tiga buah universiti iaitu Universiti Cambridge, Imperial College dan Universiti Oxford.
Menurut Ayuni lagi, penuntut di tiga buah universiti berkenaan sangat berdisiplin dan menepati masa.
Katanya, mahasiswa UTM turut memperkenalkan budaya Malaysia kepada penuntut universiti tersebut iaitu selaras dengan objektif program iaitu mewujudkan jaringan budaya antara kedua-dua pihak.
"Kami sempat menunjukkan makanan tradisional Melayu iaitu kuih baulu serta permainan wau bulan kepada mereka. Nyata mereka sangat teruja dengan budaya kita," katanya.
Mengulas lanjut, Ayuni berkata, sepanjang berada di sana, mereka tidak menggunakan sebarang khidmat pemandu arah dan hanya berpandukan kepada peta lokasi yang diberi.
Katanya, pengalaman selama lapan hari berada di tempat orang tanpa diiringi ibu bapa banyak mengajar ahli rombongan untuk menjadi insan yang berdikari, setia kawan dan bekerjasama.